Sukacita saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang merangkumi 7 langkah yang telah diumumkan semasa Bajet Negeri 2022 pada 12 Oktober 2021.
LANGKAH 1: DISKAUN BIL ELEKTRIK
Kerajaan Sarawak akan meneruskan inisiatif pemberian diskaun 5% sehingga 25% ke atas bil elektrik bulanan kepada pengguna Domestik, Komersil dan Industri mulai bulan Januari hingga Jun 2022.
Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 647,000 isirumah, pengguna komersil dan industri di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM166.8 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
JADUAL 1: DISKAUN BIL ELEKTRIK
Kategori Pengguna | Diskaun | Jumlah Subsidi (RM Million) |
Domestik | 25% | 97.7 |
Komersil C1, C2 & C3 | 15% | 53.7 |
Industri I1 & I2 | 10% | 6.1 |
Industri I3 | 5% | 9.3 |
JUMLAH SUBSIDI | 166.8 |
LANGKAH 2: DISKAUN BIL AIR
Diskaun 10% hingga 25% ke atas bil air bulanan untuk pengguna Domestik, Komersil dan Industri akan diteruskan mulai Januari hingga Jun 2022. Diskaun ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 647,000 isi rumah di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil air ini berjumlah RM24.0 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
JADUAL 2: DISKAUN BIL AIR
Kategori Pengguna | Diskaun | Jumlah Subsidi (RM Juta) |
Domestik (Isirumah penerima subsidi RM5 sedia ada) | 25% | 14.6 |
Domestik/Komersil | 15% | 7.6 |
Industri | 10% | 1.8 |
JUMLAH SUBSIDI (RM Juta) | 24.0 |
LANGKAH 3: DISKAUN 50% SEWA SKIM PERUMAHAN PERBADANAN PEMBANGUNAN PERUMAHAN SARAWAK (HDC)
Diskaun 50% sewa Skim Perumahan HDC akan diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022. Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 penyewa Skim Perumahan HDC di seluruh Sarawak.
Kos keseluruhan diskaun ini dianggarkan melebihi RM2.6 juta.
LANGKAH 4: PENGECUALIAN BAYARAN SEWA KEPADA PENGUSAHA KECIL DAN SEDERHANA (PKS) YANG BEROPERASI DI PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN MILIK BADAN-BADAN BERKANUN DAN SYARIKAT-SYARIKAT GLC NEGERI
Kerajaan Sarawak akan meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-Badan Berkanun dan syarikat-syarikat GLC Negeri bagi tempoh 6 bulan lagi iaitu Januari hingga Jun 2022. Pengecualian bayaran sewa ini akan melibatkan kos sebanyak RM2.0 juta kepada Kerajaan Sarawak.
LANGKAH 5: DISKAUN 50% SEWA PASAR DAN GERAI
Diskaun 50% sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penjaja dan peniaga kecil akan diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022.
Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,165 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT.
Keseluruhan diskaun berjumlah RM1.7 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
LANGKAH 6 : ONE-OFF INSENTIF KEPADA PENGUSAHA PENAMBANG, PENGENDALI VAN PENUMPANG BERDAFTAR, PEMANDU TEKSI, PENGENDALI BAS DAN VAN SEKOLAH YANG BERDAFTAR DI SARAWAK
Sarawak sekarang dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, dimana sektor-sektor ekonomi dan sosial mula dibuka. Oleh itu, perkhidmatan pengangkutan awam amat diperlukan bagi membantu aktiviti sosioekonomi.
Oleh itu, bantuan tunai secara one-off iaitu sekali sahaja sebanyak RM500 akan diberi kepada pengusaha penambang, pengendali van penumpang, pemandu teksi dan pengendali bas dan van sekolah di Sarawak bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang diperlukan.
Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 1,725 pengusaha dari sektor pengangkutan di Sarawak dan langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM870,000.
LANGKAH 7 : ONE-OFF GERAN KEPADA PENJAJA DAN PENIAGA KECIL YANG BERDAFTAR DENGAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MELALUI SARAWAK PAY
Bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka, Kerajaan Sarawak akan memberi Geran Khas berjumlah RM1,000 secara sekali sahaja (one-off) kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dalam tahun ini.
Bantuan Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM87.5 juta.
KESIMPULAN
Saya berharap langkah-langkah dalam Pakej BKSS 8.0 dengan perbelanjaan sebanyak RM285.47 juta dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.
Bantuan ini merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha memulihkan sosioekonomi untuk kesejahteraan rakyat seperti pakej-pakej BKSS sebelum ini.
Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej BKSS memberi manfaat kepada golongan sasar.
Oleh itu, saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memastikan bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti yang diumumkan dalam Pakej BKSS 7.0 dibayar kepada yang layak.
Jawatankuasa Penilaian bagi bantuan ini telah mengenalpasti 22,110 PKS dan 24,322 Perusahaan Mikro milik usahawan Sarawak yang layak mendapat bantuan.
Mereka telah dihubungi untuk menghantar dokumen perniagaan yang diperlukan secara online bagi membolehkan pembayaran dibuat. Ini penting kerana proses penilaian dilakukan melalui sistem pengkomputeran yang memerlukan maklumat perniagaan yang lengkap dan tepat.
EPU Sarawak telah menyediakan garis panduan penghantaran dokumen perniagaan melalui emel dan telah memuat naik infografik dan video di media sosial UKAS untuk membantu PKS dan Perusahaan Mikro sejak Oktober 2021.
Sehingga tarikh tutup pada Oktober 2021 sebanyak 12,809 PKS telah menghantar dokumen masing-masing. Walau bagaimanapun, sebanyak 9,955 atau 77.7% PKS didapati mengemukakan dokumen perniagaan yang tidak lengkap atau tidak tepat dan ditolak oleh sistem pengkomputeran, maka pembayaran tidak dapat dibuat.
Proses verifikasi sedang giat dijalankan dan sehingga Januari 2022 sejumlah RM20.6 juta telah disalurkan kepada PKS dan Perusahaan Mikro yang telah mengemukakan dokumen perniagaan yang lengkap.
Kerajaan Sarawak sentiasa memikirkan langkah-langkah yang terbaik dalam melaksanakan inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.
Kerajaan Sarawak juga mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat agar terus terpelihara. Saya bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan akan terus menyumbang bakti dan memberi khidmat demi Sarawakku Sayang.