Friday, 16 November 2018

Mordi: Saya sedih sebab kaum bumiputera bukan Islam di Sarawak di-pinggirkan


Mas Gading MP Mordi Bimol's speech in Parliament on November 14 2018
1. Belanjawan 2019, nak cakap gembira, tidak!  Nak cakap sedih...ada lah sedikit.
Mohon maaf jika ketidak-puasan hati ini menyinggung mana-mana pihak. Adanya saya disini, bukan sahaja membawa suara rakyat di Mas Gading...malah perasaan mereka, kerisauan mereka, kesusahan mereka, kemarahan mereka, mereka yang tertindas selama ini.

YB Mordi Bimol,  Mas Gading
2. Walaupun Yang Berhormat Pensiangan berada di pihak sebelah, namun sebagai orang muda, apa yang disampaikannya adalah sama dengan apa yang terbuku di dalam hati ini. Saya menyokong 100% hujah-hujah yang disuarakan. Perpaduan dalam pembangunan itu tidak ada atau tidak wujud.

3. Silap siapa? Silap kerajaan terdahulu..bukan nak mengungkit, tetapi itu adalah hakikat dan kita di sini pada hari ini adalah untuk memperbetulkannya. 55 puluh tahun adalah tempoh yang terlalu lama untuk kami menunggu. Adakah kami perlu menunggu lagi? Di bawah pentadbiran sebelum ini, kami ketinggalan 20 tahun ke belakang.

4. Tiga kali bertanding dalam pilihan raya, isu yang dimainkan adalah isu yang sama. Hujah semasa kempen yang kononnya menyentuh keperluan rakyat...perlu dekat dengan rakyat, hari ini, saya suarakan semula di dewan yang mulia ini. Malah semua yang berhormat dari Sabah dan Sarawak
menekankan isu yang sama.

5. Beberapa minggu yang lepas, saya terdengar perbualan sekumpulan pegawai di luar dewan, YB2 Sabah Sarawak ni banyak main isu tempatan, patutnya main la isu nasional. Jawapannya, kami terpaksa, kami terpasa sebab itulah hakikatnya bila isu nasional gagal menyentuh kami orang-orang tempatan, gagal menyentuh kami bumiputera di Sarawak dan Sabah. Ya, negeri kami
kaya...tapi sedih rakyat kami miskin.

6. Kami sentuh isu jalan...sebab bukan sahaja jalan kami teruk, tetapi sesetengah
kawasan di Sarawak masih tidak ada jalan! Kami sentuh isu air...bukan sebab masalah catuan macam Selangor, tetapi sesetengah kawasan di Sarawak memang tidak ada bekalan air bersih! Kami sentuh isu tanah...bukan sebab kami tidak ada tanah, tetapi masalahnya kami menumpang di tanah sendiri!

Tidak ada geran. Tapi bila syarikat-syarikat nak beli, nak bangunkan, nak buka ladang...terus ada
geran! Bila rakyat minta, haram...pilihan raya demi pilihan raya, janji demi janji...kami dipermainkan.

7. Dalam manifesto Pakatan Harapan
- Memperakui hak pemilikan tanah adat
- Mewujudkan tribunal khas tanah adat
- Menyediakan dana untuk kajian perimeter

8. Kerajaan sebelum ini, sejak 2010 telah memperuntukkan sebanyak RM154.5 juta dana persekutuan untuk kajian perimeter, walaupun pelaksanaannya kurang jelas. Namun belanjawan kerajaan baru hari ini tidak menyentuh tentang tanah adat. Maka dengan itu, saya mohon mencadang agar peruntukan khas untuk tanah adat di Sarawak diteruskan dan tribunal khas tanah adat itu seperti yang tertulis dalam manifesto pakatan harapan di tubuhkan atas dasar
tanggungjawab, bukan untuk GPS, tetapi untuk masyarakat kami di luar bandar.

9. Bila menyentuh isu royalti minyak, kita dapat lihat, Yang Berhormat-Yang Berhormat dari negeri-negeri pengeluar minyak seperti Kelantan dan Terengganu dan wilayah-wilayah pengeluar minyak seperti Sarawak dan Sabah merayu-rayu meminta balik hak mereka.

10. Semasa pilihan raya, kita berkempen bercakap, kalau Pakatan Harapan jadi kerajaan, “no more negotiation” (dengan izin), 20% royalti minyak akan terus dikembalikan kepada Sarawak, tetapi itu tidak berlaku. Kami buat video, untuk menyebarkan mesej tersebut. Sekarang video tersebut terus dikongsi dan disebar, disebar untuk menagih janji tersebut. Kerana video tersebut, Yang Berhormat Bandar Kuching dihentam teruk.

12. Mungkin Yang Berhormat Barisan Nasional atau kini GPS, dulu tersilap atau usaha mereka tidak berjaya, atau suara mereka tidak dipedulikan oleh kerajaan persekutuan, saya berharap itu tidak akan berlaku pada kami dengan kerajaan baru hari ini.

13. Malaysia untuk orang Malaysia, maka perpaduan dalam segala aspek juga harus sama rata. Ingin saya bertanya kepada pihak kementerian atau kerajaan hari ini, adakah pihak menteri dan semua Yang Berhormat di dalam dewan yang mulia ini setuju bahawa semua agama di dunia ini mengajar umatnya untuk berbuat baik?

14. Pasir Puteh juga ada menyebut perkara ini dalam bahasnya, semua agama menuntut umatnya berlaku adil. Adakah kita di sini bersetuju bahawa rumah ibadat adalah salah sebuah tempat yang terbaik untuk membina sahsiah individu?

15. Apa yang saya cuba bangkitkan disini adalah tentang peruntukan untuk rumah ibadat bukan Islam terutama di Sarawak. Lebih kurang 70% penduduk di Sarawak adalah bukan Islam, dan lebih kurang 45% daripada jumlah penduduk di Sarawak adalah beragama Kristian. 80% penganut agama Kristian di Sarawak adalah golongan BUMIPUTERA, iaitu lebih kurang 35% daripada keseluruhan penduduk di Sarawak adalah BUMIPUTERA atau Orang Asal yang beragama Kristian. Dimanakah mereka Di luar bandar  ?

16. Persoalannya di sini adalah, kami sekali lagi terpinggir...dan akan terus terpinggir jika perkara ini tidak dipandang serius; akan terus terpinggir jika isu ini terus dianggap sensisitif, padahal, sensitiviti kami tidak terjaga. Di kawasan saya Mas Gading, terdapat lebih kurang 70 buah gereja yang memerlukan dana untuk baik pulih dan bina baru. Setiap gereja tersebut terpaksa menjalankan
kutipan dana untuk menanggung kos baik pulih.

17. Usaha kutipan dana ini bukan usaha setahun dua, tetapi bertahun-tahun. Bayangkan 70 buah gereja ini terpaksa melakukan program atau majlis makan malam untuk kutipan dana setiap tahun, satu tahun 70 buah gereja dan itu baru di kawasan Mas Gading. Siapa tak bankrup? Itu belum temasuk program-program kutipan dana oleh PIBG. Betapa terdesaknya masyarakat di luar bandar di sana.

18. Kerajaan Negeri Sarawak sedar akan masalah ini dan menubuhkan UNIFOR pada 2017 iaitu sebuah unit baru di bawah Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

19. UNIFOR bertanggungjawab untuk mengawal selia dasar bagi mempromosikan keharmonian antara agama selain menilai, mencadangkan dan merumuskan dasar, undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan hal ehwal agama bukan Islam di Sarawak, malah menjadi urus setia kepada Sarawak Unit For Other Religion Charitable Trust, untuk menyalurkan dana kepada rumah-rumah
ibadat bukan Islam. Tetapi tidak cukup.

20. Di kawasan bandar, lain, mereka ada sedikit kemampuan...tetapi di luar bandar, kami tidak mampu. Kami tidak mampu nak buat kutipan dana. Sekali dua boleh tetapi kalau dah tiap tahu, beban itu terasa. Mereka tak minta kerajaan bina gereja, mereka cuma minta sedikit bantuan daripada kerajaan untuk membantu mereka. Mereka perlukan RM300 ribu, tapi kerajaan melalui ahli parlimen hanya dibenarkan bagi RM10 ribu. Sedih!

21. Tahu kenapa sedih? Di kawasan luar bandar Sarawak, di kampung yang majoritinya adalah Kristian, bila ada satu dua keluarga yang memeluk agama Islam, dengan mudah, petik jari, surau dibina… tetapi rumah ibadat golongan majoriti tidak mendapat perhatian. Di manakah logik akalnya disitu? Gereja  yang lebih 50 tahun, yang daif, tidak dipedulikan.

22. Saya di sini bukan menidakkan agama lain, cuma saya menuntut sedikit keadilan bagi agama lain. Ini suara rakyat, bukan suara saya seorang. Saya percaya, Yang Berhormat-Yang Berhormat GPS juga bersetuju dengan hal ini.

23. Oleh itu, saya mohon mencadang agar kerajaan baru hari ini, memberikan peruntukan khas untuk agama-agama bukan Islam, khususnya untuk projek baik pulih atau bina baru rumah ibadat bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Melalui peruntukan khas yang disalurkan melalui Ahli Parlimen, kami hanya dibenarkan menyalurkan jumlah maksima RM10,000 sahaja untuk projek fizikal naik taraf rumah ibadat tetapi tidak boleh digunakan untuk membiayai kos program anjuran agama bukan Islam. Ini kurang adil. Mohon perhatian pihak kerajaan.

24. Pucuk lemiding, pucuk pakis,
Tumis belacan kegemaran semua,;
Kajian punya kajian tak habis-habis,
Jambatan dijanji bila nak bina?
Sarawak negeri berbukit-bukit,
Jalan teruk, pinggang pun sakit;
Budget 2019, budget yang sempit
Harap Budget Jambatan Kpg Selampit tidak dikepit.

25. Isu jambatan Kpg Selampit saya ajukan sekali lagi dalam dewan yang mulia ini. Jambatan yang dijanjikan sejak 2003, 15 tahun yang lepas, ibarat jambatan yang tersangatlah panjang di Malaysia yang masih menunggu jawapan.

26. Begitu jalan sepanjang 9km ke Kpg Kendaie, di Lundu. Sebuah kampung yang jauh tercicir dari segala program pembangunan di Mas Gading. Sudahlah tidak ada air, tidak ada sumber air semula jadi, sebab yang ada semuanya sudah tercemar, sekolah di sana pula masih menggunakan set penjana tenaga, lokasinya sejauh 9km dari jalan utama pula ibarat menunggang roller coaster.

27. Itulah sebabnya kebanyakan penduduk di Sarawak dan Sabah terpaksa memilih untuk memandu pacuan empat roda, bukan atas dasar kemahuan, tetapi keperluan. Yang sakitnya bila bayar bulan-bulan, belum lagi kos minyaknya. Serba-serbi, kehidupan kami di Sarawak ditekan.

28. Saya ingin menyentuh juga tentang reformasi subsektor agro-makanan. Saya berharap reformasi ini akan dilakukan juga di kawasan-kawasan luar bandar yang terpilih terutama dalam usaha membina pusat-pusat pengumpulan dan pemprosesan hasil tani. Sebab di Sarawak, banyak pertanian dilakukan ala kadar, kerana tidak ada galakan seperti kilang atau tempat pemprosesan.

Kerajaan yang lepas telah menyalurkan RM1.3 juta dalam projek Nanas MD2 di Bau. Melihat kepada jumlah pelaburan dan usaha yang telah dilakukan serta potensi projek tersebut kepada masyarakat tempatan di Mas Gading dan Puncak Borneo, saya berharap pihak kerajaan akan terus membantu
usahawan-usahawan desa serta pekebun-pekebun kecil kita yang kini ramai terkapai-kapai disebabkan peralihan kuasa.

29. Di kawasan Mas Gading, saya telah melihat sendiri beberapa anak muda yang begitu serius dengan penanaman sayur-sayuran seperti timun, terung, petola, tembikai, dan cili. Apa yang mereka perlukan sekarang adalah suntikan dana untuk membeli jentera untuk tujuan membajak, peruntukan untuk membuat jalan untuk ke kawasan pertanian mereka. Saya harap usaha ke arah pemerkasaan anak muda khususnya dalam sektor pertanian di luar bandar akan diberi
perhatian.

30. Saya faham akan masalah kewangan dan beban kewangan kerajaan yang kita warisi hari ini. Belanjawan yang dibentangkan sememangnya tidak sempurna tetapi saya sedar mereka yang terlibat sudah cuba sebaik mungkin. Cuma masih tersimpan harapan untuk melihat yang lebih baik khas nya untuk masyarakat kita di luar bandar di Sabah dan Sarawak. Oleh itu saya sokong
belanjawan 2019 ini dengan harapan masyarakat luar bandar diutamakan.

No comments: