Thursday 22 March 2012

Speech by YB Datuk Alex Linggi in Parliament




Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Salam sejahtera, Salam 1Malaysia saya ucapkan
kepada semua Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.  Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan
kepada Tuan Yang di-Pertua kerana telah mengizinkan saya untuk mengambil bahagian dalam
membahaskan Titah Diraja oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi persidangan
Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Kedua Belas ini.

Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua.  Semoga kemakmuran negara ini berterusan di bawah naungan pemerintahan Baginda.

 Tuan Yang di-Pertua, dengan kesempatan ini juga patik merafak sembah dan menjunjung kasih
ke atas Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Terengganu yang telah menduduki
takhta bersemayam di Istana Negara dan menjadi payung naungan pemerintahan yang adil yang
saksama selama lima tahun... [Tepuk]  

Pemerintahan Tuanku akan terpahat di hati rakyat Malaysia yang terus akan menjunjung prinsip
Raja Berperlembagaan dan melafazkan taat setia kepada negara dan Raja. Semoga Tuhan sentiasa
pelihara Tuanku, Permaisuri dan keluarga.

 Dengan ini saya selaku Ahli Parlimen bagi kawasan  Kapit mohon menyokong isu Menjunjung
Kasih ke atas Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Seperti mana yang kita
diperdengarkan bahawa ucapan serta amanat Seri Paduka Baginda telah benar-benar mengungkit rasa
dan naluri kita sebagai Ahli Yang Berhormat. 

Untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan bekerjasama sambil berganding bahu untuk turut serta memperkasakan tindakan serta matlamat kerajaan, bagi memastikan segala rancangan serta hak kerajaan dalam dilaksanakan dengan mantap.  

 Tuan Yang di-Pertua, saya menerima baik pelan tindakan serta pelaksanaan kerajaan dalam
memastikan tiada rakyat yang terpinggir, sambil memastikan segala usaha dapat diambil agar tiada
kawasan atau masyarakat kita terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Selama 55 tahun negara ini berada di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, pelbagai nikmat sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, program pembangunan luar bandar dan sebagainya telah dirasai oleh semua.  

Tanpa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional, saya percaya negara kita tidak mungkin akan
boleh mencapai tahap kecemerlangan yang kita kini dapat lihat selaras dengan pendirian dan
perancangan kerajaan Barisan Nasional yang berpandukan kepada  ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan’.

Kita dapat menikmati banyak kemudahan serta pembangunan bagi semua masyarakat di negara ini tanpa menilai dari aspek kulit, agama dan kepercayaan mahupun di Semenanjung atau di Sarawak dan Sabah.

Seperti mana yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda, kepimpinan Yang Amat  Berhormat Perdana Menteri kita yang penuh dengan wawasan serta komitmen dalam memperkasakan  pentadbiran kerajaan dapat mencerminkan pencapaian negara kita di rantau Asia mahu pun global yang mencatat pembangunan yang amat pesat sambil membawa negara ke satu peringkat yang lebih tinggi dalam sektor ekonomi antarabangsa mahupun pembangunan sosial yang mampan. 

Tuan Yang di-Pertua, Gagasan 1Malaysia telah membawa banyak kesan positif dalam membina
imej negara di persada antarabangsa serta kepercayaan masyarakat kita untuk terus menyokong prinsip
kongsi kuasa yang dipraktikkan sejak wujudnya Malaysia melalui sistem pemerintahan bersama dalam
Barisan Nasional.

Tuan Yang di-Pertua, berhubung tindakan atau langkah mampan yang diambil oleh kerajaan
dalam memesatkan ekonomi negara, saya ingin memberikan setinggi-tinggi pujian kepada Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri kerana telah berjaya membantu meningkatkan perusahaan kecil sederhana
atas mengenang jasa industri ini yang telah membantu meningkatkan ekonomi domestik, mencipta
banyak peluang pekerjaan dan menarik pelaburan dalam negara.

Maka pelbagai bantuan telah diberikan kepada mereka yang berkecimpung dalam industri ini. Antara contoh bantuan yang amat menarik perhatian saya adalah bantuan dana kepada usahawan  bidang ini yang ingin bangkit semula setelah gagal dalam perniagaan mereka. Kita sedar dalam perniagaan ada banyak cabarannya. 
Maka saya percaya bahawa gagal sekali tidak bererti gagal untuk selamanya. Oleh itu,
sewajarnya industri ini yang telah banyak menyumbang kepada negara disokong dan dibantu agar
usahawan ini lebih maju ke hadapan sekali gus membawa lebih banyak keuntungan kepada negara dan
rakyat sejajar dengan matlamat kerajaan dalam menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 nanti.

Bantuan dan sokongan ini perlu dilakukan secara berterusan memandangkan keadaan ekonomi global yang berada pada paras tidak menentu ini menyebabkan pelbagai impak negatif kepada ekonomi negara. Maka saya mencadangkan agar pemantapan ekonomi domestik perlu diberikan perhatian sewajarnya. Saya turut percaya bahawa kelestarian ekonomi domestik mampu membawa negara ke arah satu perubahan ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang. 

Di samping itu, saya juga ingin memuji langkah yang diambil oleh Menteri Pertanian dalam
mewujudkan My Agro Hypermart sebagai pasar raya produk IKS tempatan yang pertama di Malaysia di
bawah kelolaan PEMANDU, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani. Diharapkan melalui penubuhan  My Agro Hypermart ini akan dapat mencapai objektif bagi
mewujudkan platform dalam membantu para usahawan IKS melebarkan sayap perniagaan ke satu tahap
yang lebih baik. 

Tuan Yang di-Pertua, mengenai isu luar bandar. Masyarakat luar bandar merupakan komponen
penting dalam demografi negara. Kebanyakan mereka menjalankan aktiviti perekonomian seperti
pertanian, penternakan, nelayan, perusahaan kecil dan sederhana serta pelbagai pekerjaan rencam
untuk menyara keluarga.

Justeru, usaha membina kesejahteraan hidup penduduk kawasan luar bandar menjadi perhatian kerajaan sejak dulu lagi. Walaupun pelbagai kemajuan telah dinikmati oleh penduduk luar bandar, namun tidak dinafikan bahawa masih terdapat mereka yang hidup susah kerana memperoleh pendapatan yang rendah. Oleh itu, selari dengan Dasar Transformasi Negara, kerajaan telah menekankan Program Transformasi Luar Bandar yang akan terus mempertingkatkan pembangunan infrastruktur dan pembangunan ekonomi luar bandar termasuklah di negeri Sarawak dan Sabah.

Melalui Bajet 2012, RTP menerima peruntukan RM5,000 juta bagi memperkukuhkan
pembangunan infrastruktur asas luar bandar merangkumi program jalan luar bandar dan projek
perhubungan desa, memperluaskan bekalan air bersih  dan bekalan elektrik terutama di Sarawak dan
Sabah serta meningkatkan perkhidmatan pengangkutan  awam di kawasan luar bandar.

Ya, Yang Berhormat Kota Belud. Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]:  Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya tadi mendengar bagaimana Yang Berhormat mengatakan tentang Sarawak, pembangunan Sarawak dan sebagainya itu. Saya ingin minta pandangan Yang Berhormat, kita dengar bagaimana rakan-rakan kita di pembangkang mengkritik kerajaan Sarawak, bermacam-macam tuduhan yang dibuat tetapi apabila saya membaca dalam internet saya boleh buat perbandingan

Saya terbaca di internet, dalam Jabatan Statistik yang mengatakan bahawa kerajaan negeri
Yang Berhormat mempunyai  cash reserve  RM17 bilion. Sarawak mempunyai  cash reserve, simpanan
RM17 bilion. Kalau saya bandingkan pula dengan negeri-negeri yang menjadi pujaan kepada
pembangkang ini, di Pulau Pinang, di Selangor yang  dikatakan maju di bawah pembangkang ini, di
Selangor Yang Berhormat  cash reserve  kerajaan Selangor hanyalah RM1.6 bilion...  [Disampuk] Tidak,
sekarang. Sekarang Yang Berhormat, RM1.6 bilion cash reserve. 

Seorang Ahli: Ya lah, Khir Toyo curi habis.

Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]:  Jadi, dibandingkan RM17 bilion dengan RM1.6
bilion, saya kira saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Barisan
Nasional yang telah membentuk tabung  cash reserve  kerajaan negeri RM17 bilion. Saya minta
pandangan. Sabah lagi besar daripada Sarawak, RM4 bilion. 

Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Terima kasih Yang Berhormat Kota Belud. Apa yang
telah disebutkan oleh Yang Berhormat Kota Belud, saya anggap itulah kenyataannya. Sarawak memang
satu negeri yang boleh dikatakan kaya cuma kita pandai menggunakan sumber kewangan kita dan kita
ada perancangan untuk bukan sesuka hati menggunakan sumber kewangan kita.

Di negeri yang dibandingkan tadi, saya tidak tahu Selangor berapa, jadi saya anggap kalau betullah Selangor yang beberapa tahun ini di bawah naungan pihak pembangkang, mungkin sebagai satu negeri yang
sepatutnya lebih maju, bolehlah buat usaha untuk mempertingkatkan reserve di Selangor. 

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin memuji langkah transformasi luar bandar serta di Sarawak dan Sabah yang telah diambil oleh kerajaan. Pelbagai bantuan dalam menaiktarafkan infrastruktur luar  bandar ini sememangnya mampu memberikan keuntungan  yang besar kepada rakyat yang berada di kedua-dua negeri ini. Melalui kemudahan asas seperti penambahbaikan jalan raya yang telah dilakukan  ini turut menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Malahan ianya juga dapat menarik pelaburan swasta, meningkatkan sektor pelancongan dan menggalakkan kegiatan ekonomi. 

Maka sejajar dengan itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan agar
tempat-tempat berpotensi di kawasan saya Kapit, yang berpotensi untuk dijadikan sebagai pusat
tumpuan pelancongan di negara ini dapat diberikan perhatian. 

Penambahbaikan dari segi kemudahan asas perlu dipertingkatkan lagi bagi memudahkan
jaringan pengangkutan awam penduduk dan pelancong-pelancong. Ini kerana saya melihat kedudukan
Kapit yang terletak berdekatan dengan Sungai Rajang ini mampu dibangunkan. Sekiranya berjaya, ia
akan memberikan manfaat kepada lebih daripada seratus ribu orang penduduk di kawasan Kapit. 

Tuan Yang diPertua, saya menyarankan agar segala projek-projek  pembangunan di dalam Program Transformasi dapat dipastikan mengikut jadual yang ditetapkan serta komitmen para pegawai yang bertanggungjawab ini juga dapat dipertingkatkan sambil mencari idea  serta pendekatan yang baru dan kreatif dalam memastikan hasrat kerajaan tidak terbantut akibat alasan-alasan yang boleh menjejaskan imej kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, sekiranya kita berbicara tentang kemajuan, kita pasti tidak dapat lari  daripada menyentuh aspek pendidikan. Ini kerana kemajuan itu sendiri adalah seiring dengan pembangunan minda dan tahap intelektual rakyat di negara ini. Negara yang maju sememangnya mempunyai rakyat yang berfikiran kritis dan kreatif. Maka dengan ini, saya ingin berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pendidikan yang telah menyentuh hati rakyat dengan bantuan awal persekolahan yang telah  diberikan.

Sesungguhnya bantuan RM100 bagi setiap anak-anak yang bersekolah di negara ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam melakukan persediaan awal bagi sesi persekolahan anak-anak mereka. 
Saya pasti bantuan yang telah dihulurkan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak
yang kurang bernasib baik untuk menyarung uniform sekolah baru serta mempunyai peralatan belajar
dengan lengkap bagi memulakan sesi persekolahan mereka yang baru dengan perasaan bersemangat
dan berkobar-kobar.

Tuan Yang di-Pertua, ilmu pengetahuan itu tonggak kepada pembangunan sesebuah tamadun.
Maka sekali lagi saya ingin berterima kasih kepada  Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri
kerana begitu prihatin terhadap isu pendidikan di negara ini. Pada tahun ini sahaja kerajaan telah
menawarkan peruntukan sebanyak RM50.2 bilion dalam sektor pendidikan.

Jelas kerajaan tidak pernah menganaktirikan mana-mana sekolah di negara ini kerana peruntukan bagi pembangunan sekolah, semua sekolah termasuk sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah mubaligh serta sekolah kebangsaan telah mendapat peruntukan sebanyak RM1.9 bilion. Maka saya memohon kepada pihak pembangkang untuk menghentikan semua provokasi memandangkan kerajaan sememangnya peka dan telah lama menjaga soal pendidikan rakyat negara ini berbanding dengan mereka.

Tuan Yang di-Pertua, berkaitan dengan pendidikan, ada satu isu juga. Saya mengambil  kesempatan ini membawa satu isu yang khusus iaitu saya mohon penjelasan mengapa ramai graduan dalam bidang pendidikan yang pernah diambil berkhidmat sebagai guru sandaran tidak diserap atau tidak
dapat diambil atau ditawarkan preman secara pelantikan sebagai guru tetap?

Ramai mengadu kepada saya yang mana mereka merasakan teraniaya sebab jawatan kosong itu diisi dengan orang lain pula.  Saya berharap Kementerian Pelajaran melihat semula  perkara ini dan bantu graduan-graduan yang terlibat.

Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong rakan-rakan Yang Berhormat dari Sarawak dalam isu ini  iaitu bahawa kementerian harus melatih seramai mungkin anak-anak Sarawak yang berkelayakan untuk
menjadi guru dan seterusnya mengajar anak bangsa mereka sendiri daripada kementerian menghantar
tenaga pengajar dari Semenanjung secara beramai-ramai ke Sarawak bagi mengisi kekosongan ini.

Dengan syor berkenaan, janganlah saya disalahertikan dan tidak bermakna saya anti Semenanjung.
Tidak sama sekali saya mempunyai niat sedemikian. Saya membangkitkan isu ini atas dasar bahawa
anak-anak Sarawak yang berkelayakan harus diberi peluang terlebih dahulu untuk mendidik anak bangsa
mereka sendiri di samping berpeluang menyertai perkhidmatan kerajaan.

Saya tidak sama sekali meminta bahawa kita patut memberhentikan penghantaran tenaga pendidik dari Semenanjung ke Sarawak. Ingin saya tekankan sekali lagi bahawa saya amat berterima kasih dan sesungguhnya amat menghargai sumbangan dan pengorbanan guru-guru dari Semenanjung selama ini kerana mereka amat menyumbang kepada pengajaran dan pendidikan anak-anak kita. 

Jadi seperti mana yang telah saya tekankan tadi, saya sekali lagi ingin menekankan bahawa
saya amat berterima kasih dan sesungguhnya amat menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka
selama ini terhadap anak-anak tempatan di Sarawak khususnya anak-anak Sarawak yang tinggal di desa
dan di rumah-rumah panjang di kawasan-kawasan pedalaman di negeri Sarawak. 

Apa yang kita persoalkan adalah angka tenaga pengajar dari Sarawak yang berkurangan jika
berbanding dengan angka tenaga pengajar dari Semenanjung dan Sabah ke sekolah-sekolah di
pedalaman di negeri Sarawak. Keinginan ibu bapa di Sarawak adalah supaya anak-anak mereka yang
berkelayakan diberi peluang berkhidmat di dalam jabatan kerajaan. Itu soal yang penting juga Tuan Yang di-Pertua. 

Tuan Yang di-Pertua, sekarang saya pindah kepada perkara yang lain. Bagi pihak para pengundi
saya di Kapit, di samping menyanjung semangat dan kesungguhan usaha di dalam pembentukan
Persekutuan Malaysia di dalam tahun 1963, saya ingin memanjat kesyukuran dan menghulurkan ucapan
terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas polisi beliau yang berorientasikan
rakyat untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia melalui Gagasan 1Malaysia.

Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat, Yang Amat Berhormat telah mengilhamkan polisi politik tiga
terangkum dalam satu iaitu menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dan budaya yang  menitikberatkan keterangkuman di dalam Program Transformasi Ekonomi. Semenjak Yang Amat Berhormat menjadi Perdana Menteri Malaysia, pentadbiran Yang Amat Berhormat telah menjadi tonggak utama untuk melonjakkan konsep 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ dan ketiga, melalui Program Transformasi Luar Bandar yang sedang diimplementasikan.

Tanpa keraguan saya mengatakan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa Yang Amat
Berhormat telah meletakkan batu asas yang dianggap  oleh para penduduk di kawasan Parlimen saya
dan juga rakyat Sarawak keseluruhannya sebagai suatu usaha yang paling pragmatik. Semenjak
pembentukan Persekutuan Malaysia dalam tahun 1963,  yang mana mampu membawakan Malaysia
mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. 

 Begitu juga dengan ekonomi yang berpendapatan tinggi akan membawa kemakmuran untuk
Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dalam abad ke-21 ini. Setelah
mengatakan sedemikian Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya untuk menyampaikan hujah-hujah yang saya
rasa genting iaitu crucial point of contention ke hadapan Dewan yang mulia ini, dengan merujuk khusus
kepada kawasan-kawasan Parlimen luar bandar di Sarawak termasuk di kawasan saya di Kapit. 

Kawasan-kawasan luar bandar di Sarawak tidak ketandusan sumber aslinya. Sebenarnya kawasan-kawasan luar bandar di Sarawak memang dianugerahkan dengan kekayaan sumber asli seperti arang batu, sistem sungai yang mampu menjanakan kuasa yang boleh diperbaharui melalui empangan hidro seperti di Bakun, Batang Ai, Murum dan lain-lain. 

Negeri Sarawaklah satu-satunya negeri yang paling kaya dengan sumber hutan seperti kayu balak dan sekarang pula beribu-ribu ekar tanah termasuk tanah hak adat bumiputera sedang dibangunkan secara komersial untuk ladang-ladang kelapa sawit. Apa yang terpenting adalah sumber politik yang mana sebahagian besar bahagian Parlimen yang dianggap sebagai simpanan tetap Barisan
Nasional letaknya di kawasan-kawasan luar bandar. 

Yang Amat Berhormat sebilangan besar rakan-rakan seperjuangan saya daripada Sarawak telah
dipilih oleh kawasan-kawasan simpanan tetap yang terletaknya di luar bandar. Walau bagaimanapun,
segala yang telah saya perkatakan itu tidaklah mencerminkan keadaan sebenar yang terdapat di luar-luar
bandar di Sarawak. 

 Di Sarawak kita mempunyai tanah hak adat bumiputera yang begitu luas. Akan tetapi ianya boleh
dianggap sebagai harta mati atau dead asset. Rakyat di luar bandar dianggap sebagai simpanan tetap
Barisan Nasional. Akan tetapi malangnya kesejahteraan mereka terus tidak terbela bagi mengimbangi
anggapan itu. Walaupun Kapit merupakan wilayah yang berbukit bukau, namun pelbagai tanaman kontan
seperti getah dan sawit boleh diusahakan secara kebun kecil. Sekarang Kapit masih merupakan
kawasan yang terpencil kerana tidak mempunyai sebarang hubungan jalan raya dan kawasan-kawasan
lain di Sarawak walaupun projek ini sudah pun diluluskan.

Oleh yang demikian, tidak mungkin saya akan berupaya untuk memberikan gambaran yang betul
mengenai Kapit jika keadaan di sana memang tidak betul. Rasanya tidak harus saya terus berpura-pura
dan bersandiwara. Memang tidak boleh dinafikan bahawa kawasan-kawasan di luar bandar  sememangnya kaya dengan sumber asli dan juga sumber politik. Namun di bumi yang kaya raya ini, kemiskinan masih merupakan suatu keadaan atau  hallmark  yang masih berkekalan di Sarawak dalam era selepas lebih 40 tahun kita merdeka.

 Sesungguhnya kami merasa syukur dan berterima kasih atas usaha kerajaan tentang  pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (PTLB). PTLB inilah memang relevan bagi rakyat luar bandar kerana sifat keterangkumannya. Tidak dinafikan bahawa untuk membangunkan kawasankawasan luar bandar memanglah mahal dan mendatangkan banyak rintangan serta cabaran kepada kerajaan. Lebih-lebih lagi hasil daripada pembangunan di luar bandar biasanya payah untuk diramalkan dan lazimnya mengambil masa yang begitu panjang untuk mendatangkan faedah kepada mereka yang layak menerima. Ini sama sekali tidak seperti pembangunan di kawasan bandar.   

 Terdapat isu-isu sosiobudaya yang harus ditangani  dan harus diambil kira juga perbezaan pegangan politik di antara sektor luar bandar dan bandar dari segi bajet  selain daripada memikirkan sektor ekonomi yang mana yang harus diberikan keutamaan. Walaupun menghadapi banyak kekangan, namun Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah begitu berjaya dalam melaksanakan pembangunan luar bandar di Semenanjung Malaysia ini.

 Sebenarnya jalan kampung di Semenanjung Malaysia ini pun jauh lebih baik daripada Lebuh Raya Trans-Borneo yang menjadi kebanggaan kami di Sarawak selama ini. Malahan cerita-cerita tentang kejayaan rancangan-rancangan pembangunan FELDA, FELCRA, RISDA membuatkan Sarawak berasa iri hati.

Kalau hendak dikatakan kita ini mengembara menyusuri denai yang berlainan mungkin tidak tepat. Kita ini sama-sama berkayuh dalam satu perahu iaitu perahu Barisan Nasional. Akan tetapi kenapa pula program pembangunan di Semenanjung ini dapat berjalan lancar dan boleh mendapat kejayaan sedangkan program untuk kita di Sarawak dan Sabah sentiasa diselubungi dengan kegagalan. 

Maka dengan itu kita semua boleh nampak dengan jelas bahawa kejayaan pembangunan luar bandar kerana tidak bisa dicapai tanpa kesungguhan politik. Apa yang ketara sekarang ini, hasrat dan harapan memang wujud dengan segar sekali. Akan tetapi kesungguhan sesiapa yang kekurangan itu kita  pun tidak tahulah.

Tuan Yang di-Pertua, di Sarawak  terdapat beberapa projek gergasi di bawah pelaksanaan SCORE di mana 12 empangan hidro sudah dan akan dibina. Tiga daripada projek tersebut telah pun siap pembinaannya iaitu Batang Ai, Bakun  dan Murum. Empangan yang akan dibina ialah Baleh dan Baram. Kedua-duanya terletak di kawasan luar bandar. 

 Bakun akan menjanakan 2400 megawatt tenaga elektrik. Sementara Batang Ai menjanakan 90
megawatt. Kesemuanya empangan hidro ini apabila telah siap kelak akan mampu mengeluarkan 20 juta
megawatt tenaga elektrik. Justeru akan menghasilkan berbilion ringgit Malaysia pendapatan untuk  negara dan negeri dan juga para kontraktor yang terlibat. Persoalannya bagaimana dengan rakyat  tempatan yang di sekeliling kawasan itu. Mereka langsung tidak menikmati sebarang faedah. Itu  kerisauan saya. 

 Memang tidak boleh dinafikan bahawa sasaran dan matlamat untuk mengeluarkan tenaga yang
boleh diperbaharui ini adalah untuk membangunkan industri dan mewujudkan pekerjaan berpendapatan
tinggi akan tetap tercapai. Akan tetapi kebajikan rakyat tempatan janganlah terabai. 


Tuan Yang di-Pertua izinkan saya mengemukakan satu cadangan kepada Kerajaan Pusat. Oleh
kerana perbelanjaan dan pembiayaan pembinaan empangan-empangan tersebut ditanggung atau
sekurang-kurangnya diluluskan oleh Kerajaan Pusat.  Maka Kerajaan Pusatlah yang sewajarnya
mensyaratkan agar 55% atau lebih daripada dana yang diperuntukkan untuk pelaksanaan projek gergasi
ini diperuntukkan khas untuk tujuan pakej rangsangan ekonomi bagi penduduk-penduduk tempatan di
kawasan yang diliputi oleh projek gergasi berkenaan. 

 Izinkan saya untuk memberikan contoh yang lebih terperinci. Empangan hidro di Kapit akan dibina di Sungai Putai di sebatang Sungai Baleh yang terletaknya di bahagian Parlimen Hulu Rejang yang jauh daripada beberapa buah rumah panjang di sepanjang sungai berkenaan. Para pegawai yang  memantau pelaksanaan pembinaan empangan berkenaan telah menegaskan bahawa rumah-rumah  panjang ataupun kampung-kampung berkenaan tidak akan terjejas dengan pembinaan berkenaan. 

Itu memang benar. Kesemuanya rumah-rumah panjang atau kampung-kampung di situ adalah
terletak di sebelah hilir di luar tapak pembinaan dan tidak akan ditenggelami air. Oleh itu dengan lantang
dan mudah pihak berkenaan menyatakan penduduk-penduduk berkenaan tidak perlu ditempatkan
semula atau dipindahkan. Mereka tidak akan terjejas. Maka tidak perlu difikirkan sesuatu untuk mereka.
Biarkan mereka berada di situ sahaja. Walau bagaimanapun segala bentuk kutukan dan ketidakpuasan
akan dilemparkan kepada saya selaku Ahli Parlimen di Kapit dan juga rakan saya Ahli Parlimen Hulu
Rejang nanti. Jika kami tidak mengutarakan perkara ini secara terus terang di Dewan yang mulia ini. 

Kita jangan lupa bahawa air sungai Baleh mengalir melimpahi ratusan rumah panjang ataupun
kampung-kampung yang terletaknya di dua-dua belah Sungai Baleh yang mewakili hampir separuh
daripada penghuni-penghuni di kawasan DUN Baleh dalam kawasan Parlimen Hulu Rejang. 

Penduduk-penduduk di situ sedar bahawa berjuta-juta pendapatan akan diperolehi daripada
Empangan Hidro Baleh. Berjenis-jenis industri akan  muncul dengan penjanaan tenaga elektrik yang
murah, yang akan disalurkan menerusi kabel kepada lokasi-lokasi strategik di luar kawasan Kapit.

Bagaimanapun, saya khuatir sama ada terdapat industri-industri berkenaan akan dibangunkan dan
ditempatkan di kawasan Baleh sendiri. Justeru pada hakikatnya, projek gergasi ini tidak akan memberi
sebarang faedah langsung kepada penduduk tempatan di kawasan Baleh. Jawatan-jawatan yang
berpendapatan tinggi akan disandang oleh orang-orang luar. Hakikatnya, jika segala-galanya telah
diambil, apa pula yang tertinggal untuk dinikmati oleh orang-orang tempatan. 

Mengikut pemerhatian saya, dari setiap sudut senario seperti yang diperjelaskan di atas adalah
difikirkan tidak jauh menyimpang daripada gambaran  yang sebenarnya. Oleh itu, saya merayu kepada
Kerajaan Pusat supaya merancang untuk memberi kemudahan berbentuk pakej rangsangan ekonomi
untuk penduduk setempat di Baleh yang bernilai 5% ataupun lebih daripada kos pembinaan empangan
hidro tersebut seperti yang telah saya sebutkan pada awal tadi. Peruntukan ini harus dimanfaatkan untuk
membangunkan usaha-usaha menanam tanaman kontan seperti getah, lada hitam, kelapa sawit, buahbuahan dan sebagainya. Perusahaan ladang secara kontrak merupakan satu opsyen yang berdaya maju untuk penduduk-penduduk setempat asalkan pihak yang bertanggungjawab memastikan adanya pasaran
ataupun market. 

Pengundi-pengundi di kawasan pilihan raya di Sarawak dikatakan simpanan tetap bagi kerajaan
Barisan Nasional tetapi mereka tidak mempunyai modal maka mereka tidak mempunyai kepercayaan
kredit. Aset mereka hanya bergantung kepada tanah hak adat bumiputera tetapi itu pun dormant sahaja.
Maka, pakej rangsangan ekonomi yang dicadangkan itu boleh membangunkan aset yang dormant itu. Ia
juga akan membantu menjanakan pendapatan bagi penduduk-penduduk di luar bandar. 

Saya berpendapat bahawa dengan kaedah ini, penduduk-penduduk di kawasan Baleh, di Kapit
akan dapat menikmati faedah langsung daripada projek gergasi berkenaan. Kalau kita tidak ada
perancangan seperti yang telah saya sebut tadi, di situlah mungkin rakyat tidak berapa puas hati. 

Apa yang membimbangkan saya ialah modal politik kerajaan berada di kawasan Baleh dan Hulu
Rejang yang diliputi oleh pembinaan Empangan Hidro Baleh itu nanti. Jika pakej rangsangan ekonomi
tidak diadakan, fenomena penghijrahan daripada luar bandar ke bandar akan terus berlaku dan akan
mengakibatkan pengurangan penduduk ataupun depopulation dengan izin di kawasan Baleh. Satu kajian
mengenai penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang telah dijalankan oleh yayasan itu juga baru-baru
ini, dengan jelasnya menunjukkan bahawa perpindahan penduduk daripada rumah panjang ke luar
bandar di Pekan Kapit kian bertambah. 

Terdapat juga yang berpindah ke Sibu, Bintulu, malahan terus ke Semenanjung. Di Johor, ramai  orang Sarawak. Satu-satunya cara untuk menyekat perpindahan sedemikian ialah untuk memperuntukkan pakej rangsangan ekonomi yang pragmatik menekankan pengusahaan tanah hak adat bumiputera dengan bantuan yang kukuh lagi transparent daripada kerajaan. 

Tuan Yang di-Pertua, Sarawak telah sering diperkatakan sebagai simpanan tetap bagi kerajaan
Barisan Nasional namun begitu, kita harus berhati-hati pada ketika ini. Andainya terdapat kemelut
kewangan sekarang, ini tidak mustahil kita akan kehilangan simpanan tersebut. Justeru, saya ingin
memperingatkan kita semua, walaupun pengundi-pengundi yang berada di luar bandar kita anggapkan
sebagai simpanan tetap atau modal politik kita semenjak pembentukan Persekutuan Malaysia, jika kita
tidak berwaspada, besar kemungkinan kita akan kehilangan simpanan tersebut. Jadi, sebagai Barisan Nasional, kita tidak hendak itu terjadi.

Tuan Yang di-Pertua, satu lagi perkara saya fikirkan perkara ini dekat di hati Tuan Yang di-Pertua sendirilah. Oleh kerana masih ada masa, saya sebut perkara ini. Saya ingin menarik perhatian kerajaan... 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin  Tuanku Jaafar]:  Ada 10 minit Yang
Berhormat.
Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Ada 10 minit? Terima kasih. Khasnya Kementerian
Dalam Negeri tentang beberapa isu berkenaan bekas anggota polis di negara kita. Pertama, saya telah
difahamkan adalah begitu sukar bagi mereka dengan prosedur dan proses yang kompleks menuntut
pembayaran wang  one-off yang dijanjikan itu RM100,000 seorang yang dipohon. Jadi, kita hendak
proses ini atau prosedur ini dipermudahkan prosedurnya untuk mereka mendapatkan wang one-off ini –
pembayaran RM1,000 seperti yang telah dijanjikan – dan sama juga dengan tuntutan, ada satu lagi oneoff pembayaran RM3,000 kepada seseorang bekas anggota polis. Jadi, janganlah prosedur atau proses
ini dibiarkan payah untuk mereka hendak penuhi. 

Kedua, saya mencadangkan agar darurat Sarawak kalau boleh dalam era tahun 1960 ke tahun
1990. Kalau saya salah fakta Tuan Yang di-Pertua tolong bantu perbetulkan sebab Tuan Yang di-Pertua
sendiri telah berkhidmat sebagai pegawai tertinggi  polis sebelum masuk ke arena politik dahulu. Jadi,
masalahnya oleh kerana darurat di Sarawak tidak diiktiraf maka sekarang ada yang diberi kepada bekasbekas polis ataupun kepada bekas tentera mendapat Pingat Jasa Malaysia. Polis ini yang berkhidmat di Sarawak tidak mendapat apa-apa pun. Saya difahamkan untuk mereka mendapat pingat yang sama
ataupun yang diperlukan satu statut yang baru diadakan. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: Saya buat pembetulan
Yang Berhormat. Darurat di Tanah Melayu daripada tahun 1948 hingga tahun 1960 dan darurat pada
tahun 1969 hingga 1989 telah diwujudkan satu statut untuk memberikan anugerah pingat dinamakan
Pingat Jasa Malaysia.  Akan tetapi apa yang malang, darurat di Sarawak daripada tahun 1952 hingga tahun 1960 dan 1960 sehingga tahun 1990 tidak mempunyai rekod dan  tidak ada statut untuk membenarkan kerajaan  memberi pingat kepada yang berjuang pada ketika itu di Sarawak. Yang Berhormat, sila.

Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Itu dia. Begitu tepat sekali. Itulah maksud saya.  Jadi, yang kita hendak apa segala-galanya yang bekas tentera dapat dan yang lain-lain dapat, kita janganlah
meminggirkan mereka yang tidak dapat oleh kerana statut ini tidak ada untuk mereka. 

Tuan Masir Kujat [Sri Aman]: [Bangun]
Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Maksud saya masanya sudah tiba untuk kita menghargai jasa mereka yang telah berjuang kepada negara kita. Ya, saya bagi Yang Berhormat Sri Aman.

Tuan Masir Kujat [Sri Aman]: Ya, terima kasih. Untuk Yang Berhormat dari Kapit.
Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Ya.

Tuan Masir Kujat [Sri Aman]: Saya juga ada menerima aduan tentang bekas-bekas polis yang
berkhidmat selepas  emergency di Sarawak – tahun 1963 sehingga tahun 1974 walaupun  emergency
dikira selesai selepas penandaan kedamaian di Sri Aman tahun 1973. Akan tetapi, ada yang berkhidmat
sehingga tahun 1978 anggota polis. Walaupun secara rasmi, komunis sudah surrender setelah menyerah
diri pada tahun 1973 tetapi darurat diisytiharkan habis atau selesai hingga tahun 1974. Akan tetapi
mereka ini, masih berkhidmat sebab masih ada ancaman saki baki komunis sehingga tahun 1978. Jadi,
macam mana – sama ada mereka ini berhak untuk menerima sagu hati, pingat dan sebagainya. Apa
komen Yang Berhormat Kapit?

Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Saya tidak ada komen dan saya juga seperti Yang
Berhormat Sri Aman, kita mohon penjelasanlah dalam penggulungan oleh Yang Berhormat Menteri nanti.
Tuan Yang di-Pertua, sila masukkan hujah-hujah daripada kawan saya Yang Berhormat Sri Aman tadi ke
dalam ucapan saya. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi bin  Tuanku Jaafar]: Ya, sebagai rekod  Yang Berhormat - emergency itu tidak ditamatkan, hanya keadaan RASCOM itu habis 74. Sebenarnya Ramanon komunis hanya surrender pada bulan Oktober 1990 Yang Berhormat.

Datuk Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Okey, itu fakta. 
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana membantu. Satu lagi perkara Tuan Yang di-Pertua, sekarang
oleh kerana sistem pendidikan kita selama ini telah berjaya, ramai di kalangan kaum Dayak di Sarawak,
minoriti bumiputera di Sarawak, kaum Dayak khususnya yang sudah sampai ke tahap profesional. 
Mereka  engineer, arkitek dan sebagainya. Sekarang mereka cuba menceburi diri di dalam bidang
business dan sebagainya.

Saya mengambil peluang dan kesempatan ini untuk menyeru kepada kerajaan. Mereka ini masih perlu bantuan daripada kerajaan. Lebih-lebih lagi mereka yang telah menceburi diri dalam bidang sebagai  consultant.  Mereka sebenarnya belum dapat menembusi pasaran yang biasa.
Oleh itu mereka amat mengharapkan bantuan daripada  kerajaan. Banyak projek-projek
pembangunan ataupun pembinaan daripada kerajaan, kementerian-kementerian.  Mereka telah menemui
saya selalu dan mengharapkan kerajaan memberikan kepada mereka peluang untuk dilantik sebagai
consultant, jururunding, supaya mereka dapat memulakan ataupun memupuk kejayaan mereka dalam
bidang ini.

Jadi, saya berharaplah kami minoriti bumiputera amat memerlukan bantuan daripada kerajaan.  Kalaulah rakan-rakan kita bumiputera di Semenanjung, Melayu dan sebagai yang sudah begitu ramai, sudah maju, yang kita amat banggakan, okey tidak apa. Kita menerima baik itu. Akan tetapi bagi kita yang minoriti bumiputera sebab kita ketinggalan, permulaan kita jauh ketinggalan. Jadi, hanya sekarang kita mempunyai beberapa orang sahaja pun,  bukan ada beratusan. Beberapa orang sahaja profesional arkitek, engineer dan sebagainya.
Oleh kerana itu kami masih memerlukan pertolongan untuk diberi peluang mendapat kerja-kerja,
mendapat business itu.  Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya rasa itu sahajalah dari saya dalam ucapan saya
hendak menyokong Titah Diraja kali ini. Sekian, terima kasih.

No comments: