Monday 16 August 2021

Muhyiddin letak jawatan sebagai Perdana Malaysia

 TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI

16 OGOS 2021

 

Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sekalian sihat  wal’afiat.

1. Saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri  Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari tadi di  Istana Negara.  

 



2. Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menyerahkan warkah  peletakan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah  Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan disebabkan  saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ini  bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan  jawatan.

 

3. Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan  saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun lima belas  Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan  kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti  pembangkang. Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi,  tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan  di Parlimen.  

 

4. Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana  Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang  dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan.  

 

5. Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana  Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat,  maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”.  Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

 

6. Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan  tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan  ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan  majoriti Ahli Dewan Rakyat.  

 

7. Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya  untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan  Perlembagaan.

 

8. Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk  menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga  selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus  untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan  rakyat.

 

9. Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah s.w.t. yang  merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

 

10. Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana  Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak  berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

 

11. Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah s.w.t. mengangkat  martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk  memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan  bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan  saya redha dengan ketentuan Ilahi.

 

12. Sesungguhnya, jawatan yang telah saya pikul ini bukanlah suatu  kemegahan. Ia datang dengan suatu bebanan tanggungjawab yang  berat. Saya memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan  ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada masa yang sama  saya terus digugat dari segi politik.

 

13. Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip  saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

 

14. Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan  kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal  berkuasa.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

 

15. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon keampunan  daripada saudara dan saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan  saya sepanjang saya menjadi Perdana Menteri.  

 

16. Saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba  melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi  kehidupan saudara dan saudari sekalian dalam tempoh krisis yang masih  kita hadapi pada masa ini. Namun, sebagai manusia pastinya ada salah  dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf.

 

17. Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera  supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti  biasa. Tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita  dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober. Segala  perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak  boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk  memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat  menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.  

 

18. Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh  terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang  tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

 

19. Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos  vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan  sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi  untuk saudara dan saudari sekalian.  

 

20. To all my fellow Malaysians, you don’t have to worry. My cabinet  has ordered more than enough vaccines for all of you. If the vaccination  programme goes well, all of you will get vaccinated by end of October.

 

21. I hope the new government which takes over the administration of  this country will take a good care of all of you because it is the only thing  that I care about. I care for you always.

 

22. Saya senantiasa prihatin dengan nasib saudara dan saudari  sekalian kerana saya anggap saudara dan saudari sebagai anak-anak  saya sendiri. Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan  saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional,  iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat.

 

23. Saya optimis bahawa negara kita akan dapat keluar daripada krisis  pandemik ini dalam masa terdekat. Saya teruja melihat perkembangan  positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan  pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.

Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat,  lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat  kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

 

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

 

24. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima  kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi  pandemik Covid-19. Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya buat  semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya  kepada saya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh  Kerajaan Perikatan Nasional. Saya berharap segala dasar yang baik  untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.

 

25. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para  pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua  pihak yang membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan  khidmat kepada rakyat.

 

26. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga  kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yg telah berkorban masa dan  tenaga bersama saya selama ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada  pengurusan tertinggi Kerajaan Persekutuan termasuk Ketua Setiausaha  Negara, Peguam Negara, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua  Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Majlis  Keselamatan Negara dan lain-lain pegawai yang tidak dapat saya  sebutkan satu persatu. Anda semua telah banyak membantu saya menjalankan tugas dan amanah mengurus negara di waktu pandemik ini.

 

27. Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang  tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak  dahulu hingga ke hari ini.

 

28. Terima kasih juga kepada kepimpinan BERSATU, pimpinan  tertinggi Perikatan Nasional dari parti PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN,  pimpinan Gabungan Parti Sarawak, pimpinan MCA dan MIC serta  sebahagian Ahli Parlimen UMNO yang terus memberikan sokongan  kepada saya hingga ke saat akhir.  

 

29. Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ucapkan terima kasih atas  sokongan saudara dan saudari sekalian. Saya akan terus berbakti kepada  anda serta sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda  semua.

 

30. Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat  kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut  kehendak Perlembagaan Persekutuan.

 

31. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa  memelihara keselamatan dan keamanan negara kita dan mengekalkan  perpaduan seluruh rakyat.