Tuesday, 30 May 2017

Chief Minister's Gawai Dayak message - It is time to forget differences



1.            Sempena dengan Perayaan Gawai Dayak tahun ini, bagi pihak saya sendiri dan keluarga, saya mengucapkan salam sejahtera dan selamat menyambut Hari Gawai kepada semua Anak Sarawak keturunan Dayak tidak kira di mana saudara dan saudari berada.

                          Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Abang Openg

2.            Saya percaya ramai yang sudah berada di sisi keluarga atau sedang menuju ke rumah panjang atau kampung halaman masing-masing dengan menggunakan kenderaan darat, bot ekspress atau kapal terbang untuk bersama keluarga dan sahabat handai pada 1 Jun.

3.            Saya tahu ramai rakan kita daripada kaum Dayak seperti orang-orang Iban yang berada di perantauan khususnya di Semenanjung atau di luar negara yang sekarang ini bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing. Baru bulan lepas saya bersama dengan masyarakat Dayak yang berada di Johor untuk meraikan majlis pra-Gawai. Empat puluh ribu anak-anak Sarawak keturunan Dayak, khususnya orang Iban berada di Johor berbekal semangat “bejalai” yang diamalkan sejak dari dahulu lagi untuk mencari rezeki.

4.            Kepada saudara dan saudari yang membawa kenderaan pandulah dengan cermat dan dengan penuh timbang rasa agar semua sentiasa selamat di atas jalan raya. Kepada mereka yang menaiki bot ekpress, jagalah keselamatan diri anda dengan mematuhi arahan anak-anak kapal dan pegawai-pegawai Lembaga Sungai Sarawak.

5.            Di samping itu, saya menyeru agar saudara dan saudari berbelanja secara sederhana. Elakkan daripada membeli barang-barang yang tidak diperlukan dan juga elakkan pembaziran.

Saudara dan saudari sekalian,

6.            Sebagai rakyat Bumi Kenyalang yang sentiasa menghargai keamanan dan keharmonian kita amat bersyukur kerana masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama dapat meraikan perayaan mengikut agama dan tradisi masing-masing dalam suasana aman dan damai. Saya yakin seluruh warga Bumi Kenyalang turut berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan kita keturunan Dayak yang menyambut Hari Gawai pada tahun ini.

7.            Perayaan Gawai Dayak adalah temasya yang berkisar pada tradisi menanam dan menuai padi. Gawai yang diadakan selepas musim menuai padi merupakan perayaan yang penting kepada kaum Dayak dalam keinginan untuk menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kejayaan yang dicapai pada tahun yang sudah dan semoga tahun yang akan datang membawa lebih kejayaan.

8.            Namun, dalam konteks masa kini Gawai dalam masyarakat Dayak dan masyarakat umum berperanan lebih daripada suatu temasya. Musim Gawai adalah ketika masyarakat Dayak seharusnya melupakan perbezaan dan mencari persamaan untuk mengangkat identiti dan martabat kaum Dayak. Tidaklah menjadi kesalahan untuk berbeza pendapat tetapi titik persamaan haruslah menjadi suatu yang perlu diusahakan pada setiap masa untuk kebaikan kesuluruhan masyarakat Dayak.

9.            Pemimpin-pemimpin kaum Dayak yang lampau mempunyai pandangan yang jauh pada tahun 1963 ketika berusaha mendapatkan pengiktirafan bahawa perlu ada suatu hari kelepasan umum untuk merayakan Gawai Kaum Dayak di Sarawak. Antara mereka yang giat memohon pengiktirafan ini  ialah mendiang Datuk Tra Zehnder dan ayahanda saya sendiri, Tun Abang Haji Openg. Gawai Dayak yang diraikan pada kali pertama pada tahun 1965 adalah faktor penyatuan dan simbol identiti kaum Dayak. 

Saudara dan saudari sekalian,

10.          Kepelbagaian budaya, keturunan dan agama bukanlah penghalang untuk kita menjadi sebuah masyarakat yang bersatu dan harmonis berasas semangat hormat-menghormati antara satu sama lain. Kita di Sarawak amat bertuah kerana agama dan keturunan tidak pernah mendatangkan isu kepada semangat perpaduan kita. Pada masa dahulu masyarakat kita daripada pelbagai keturunan dan agama mempunyai tali persaudaraan yang begitu erat dengan amalan seperti ziarah menziarahi antara satu sama lain dan duduk semeja di kedai-kedai kopi untuk berkongsi pendapat dan jalan cerita kehidupan sehari-harian. 

11.          Ini adalah suatu gambaran betapa dekatnya persaudaraan masyarakat kita pada masa dahulu. Saya pasti banyak lagi kisah-kisah lain serupa yang kita alami yang menjadi gambaran keakraban masyarakat di Sarawak pada masa yang lampau. Saya amat berharap semangat persaudaraan yang ikhlas seperti ini dapat kita pupuk kembali dalam usaha kita bersama terus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan kita.

No comments: