1. Sempena
dengan Perayaan Gawai Dayak tahun ini, bagi pihak saya sendiri dan keluarga,
saya mengucapkan salam sejahtera dan selamat menyambut Hari Gawai kepada semua
Anak Sarawak keturunan Dayak tidak kira di mana saudara dan saudari berada.
2. Saya percaya
ramai yang sudah berada di sisi keluarga atau sedang menuju ke rumah panjang
atau kampung halaman masing-masing dengan menggunakan kenderaan darat, bot
ekspress atau kapal terbang untuk bersama keluarga dan sahabat handai pada 1
Jun.
3. Saya
tahu ramai rakan kita daripada kaum Dayak seperti orang-orang Iban yang berada
di perantauan khususnya di Semenanjung atau di luar negara yang sekarang ini
bergerak menuju ke kampung halaman masing-masing. Baru bulan lepas saya bersama
dengan masyarakat Dayak yang berada di Johor untuk meraikan majlis pra-Gawai.
Empat puluh ribu anak-anak Sarawak keturunan Dayak, khususnya orang Iban berada
di Johor berbekal semangat “bejalai” yang diamalkan sejak dari dahulu lagi
untuk mencari rezeki.
4. Kepada
saudara dan saudari yang membawa kenderaan pandulah dengan cermat dan dengan
penuh timbang rasa agar semua sentiasa selamat di atas jalan raya. Kepada
mereka yang menaiki bot ekpress, jagalah keselamatan diri anda dengan mematuhi
arahan anak-anak kapal dan pegawai-pegawai Lembaga Sungai Sarawak.
5. Di
samping itu, saya menyeru agar saudara dan saudari berbelanja secara sederhana.
Elakkan daripada membeli barang-barang yang tidak diperlukan dan juga elakkan
pembaziran.
Saudara dan saudari sekalian,
6. Sebagai
rakyat Bumi Kenyalang yang sentiasa menghargai keamanan dan keharmonian kita
amat bersyukur kerana masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai keturunan
dan agama dapat meraikan perayaan mengikut agama dan tradisi masing-masing
dalam suasana aman dan damai. Saya yakin seluruh warga Bumi Kenyalang turut
berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan kita keturunan Dayak yang menyambut
Hari Gawai pada tahun ini.
7. Perayaan
Gawai Dayak adalah temasya yang berkisar pada tradisi menanam dan menuai padi.
Gawai yang diadakan selepas musim menuai padi merupakan perayaan yang penting
kepada kaum Dayak dalam keinginan untuk menzahirkan rasa syukur dan terima
kasih atas kejayaan yang dicapai pada tahun yang sudah dan semoga tahun yang
akan datang membawa lebih kejayaan.
8. Namun,
dalam konteks masa kini Gawai dalam masyarakat Dayak dan masyarakat umum
berperanan lebih daripada suatu temasya. Musim Gawai adalah ketika masyarakat
Dayak seharusnya melupakan perbezaan dan mencari persamaan untuk mengangkat
identiti dan martabat kaum Dayak. Tidaklah menjadi kesalahan untuk berbeza
pendapat tetapi titik persamaan haruslah menjadi suatu yang perlu diusahakan
pada setiap masa untuk kebaikan kesuluruhan masyarakat Dayak.
9. Pemimpin-pemimpin
kaum Dayak yang lampau mempunyai pandangan yang jauh pada tahun 1963 ketika
berusaha mendapatkan pengiktirafan bahawa perlu ada suatu hari kelepasan umum
untuk merayakan Gawai Kaum Dayak di Sarawak. Antara mereka yang giat memohon
pengiktirafan ini ialah mendiang Datuk
Tra Zehnder dan ayahanda saya sendiri, Tun Abang Haji Openg. Gawai Dayak yang
diraikan pada kali pertama pada tahun 1965 adalah faktor penyatuan dan simbol
identiti kaum Dayak.
Saudara dan saudari sekalian,
10. Kepelbagaian
budaya, keturunan dan agama bukanlah penghalang untuk kita menjadi sebuah
masyarakat yang bersatu dan harmonis berasas semangat hormat-menghormati antara
satu sama lain. Kita di Sarawak amat bertuah kerana agama dan keturunan tidak
pernah mendatangkan isu kepada semangat perpaduan kita. Pada masa dahulu masyarakat
kita daripada pelbagai keturunan dan agama mempunyai tali persaudaraan yang
begitu erat dengan amalan seperti ziarah menziarahi antara satu sama lain dan
duduk semeja di kedai-kedai kopi untuk berkongsi pendapat dan jalan cerita
kehidupan sehari-harian.
11. Ini
adalah suatu gambaran betapa dekatnya persaudaraan masyarakat kita pada masa
dahulu. Saya pasti banyak lagi kisah-kisah lain serupa yang kita alami yang
menjadi gambaran keakraban masyarakat di Sarawak pada masa yang lampau. Saya
amat berharap semangat persaudaraan yang ikhlas seperti ini dapat kita pupuk
kembali dalam usaha kita bersama terus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam
kalangan kita.
No comments:
Post a Comment