Friday 10 October 2014

RM6,000 untuk menukar agama?

BELAGA, 10 Okt 2014: Penganut Agama Kristian di Daerah Belaga dikejutkan dengan satu berita bahawa sekumpulan pihak luar sedang giat untuk kononnya melawat ke beberapa rumah panjang di hilir Pekan Belaga dalam Daerah Belaga.


Kumpulan berkenaan dikatakan merancang untuk melawat beberapa rumah panjang seperti Punan Bah, Punan Biau, Uma Tanjung dan Nanga Merit. Rancangan program yang dirancang ini dibuat kononnya atas nama lawatan muhibbah dan lawatan amal kebajikan.

"Apa yang mengejutkan menurut sumber sahih penduduk Belaga yang beragama Kristian adalah kumpulan ini dikatakan menawarkan wang ringgit sehingga jumlah RM6,000.00 kepada setiap penduduk yang memeluk agama yang diperkenalkan oleh mereka," seorang peguam Abun Sui Anyit berkata dalam satu kenyataan.

"Berita berkenaan rancangan kumpulan berkenaan telah rancak diperkatakan di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

"Tidak dinafikan bahawa majority penduduk di rumah-rumah panjang yang ingin dilawati tersebut adalah dalam kategori miskin tegar. Dengan janji wang ringgit yang mencecah ribuan ringgit begitu akan menyebabkan penganut Kristian yang miskin dan terpengaruh dan terpedaya," tambahnya.

Dia berkata:"Justeru itu sebagai penganut agama Kristian yang prihatin dari kawasan sasaran pihak luar tersebut, maka kami berhak mempertahankan diri dan iman kami dan saudara kami sebagai penganut Agama Kristian amnya dan penduduk hilir  Belaga khususnya, tidak mahu dipengaruhi dengan cara tawaran wang ringgit oleh pihak luar tersebut.

"Kami juga mendesak pihak luar tersebut membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan program mereka di masa depan terutamanya program yang diatur secara licik untuk memesongkan pegangan penganut Kristian agar memeluk agama lain.

"Pihak berkuasa juga digesa agar menyiasat motif sebenar rancangan kumpulan dari luar ini yang mungkin bersembunyi di sebalik lawatan muhibbah dan amal kebajikan terutamanya agar tidak ada penganut Kristian dipesongkan agama mereka untuk bertukar ke agama yang dibawa oleh kumpulan ini.

"Kami percaya pihak Kerajaan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu jika masyarakat di kawasan sasaran memerlukan kebajikan yang kononnya mahu dibantu dalam lawatan tersebut," Abun berkata.


No comments: