Saturday 14 June 2014

Adenan: Saya pemimpin yang liberal

BETONG, June 14, 2014: Semua kaum di Sarawak tanpa mengira kaum Melayu, Iban dan Cina perlu hidup bersatu padu  dan aman damai di antara satu sama lain.
Gambar: Saya Ketua Menteri untuk semua kaum

“Saya bukan Ketua Menteri untuk Melayu saja tetapi saya merupakan ketua Menteri untuk semua kaum di Sarawak termasuk parti pembangkang walaupun mereka menentang kerajaan,” kata Ketua Menteri Adenan Satem.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai 2014 di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pagi tadi.

“Saya memang betul dilahirkan sebagai seorang beragama Islam tetapi saya menghormati agama Kristian, Budhha dan lain-lain,” kata Adenan.

            Menurut beliau, masyarakat di Sarawak haruslah ada identiti sendiri dimana kita perlu hidup bersatu padu, tiada pertelagahan dan aman damai di antara kaum.

            “Saya merupakan seorang pemimpin yang liberal  dalam berhadapan dengan soal agama  serta  tidak memilih bangsa dan agama dalam membuat keputusan,” ujar beliau.

            Tambah beliau lagi, unsur-unsur perkauman tidak akan sama sekali wujud di negeri Sarawak  kerana beliau tidak akan membiarkan perkara ini melanda penduduk di negeri ini.

            Menurut Adenan, polisi dalam kepimpinan beliau adalah sangat mudah, di mana pembangunan di tekankan di kawasan luar bandar kerana penduduk di luar bandar lebih mundur jika dibandingkan dengan penduduk di bandar.

“Orang yang hidup di kawasan bandar mempunyai kemudahan  yang cukup jika di bandingkan dengan penduduk di luar bandar seperti kemudahan elektrik, air dan jalan yang kurang memuaskan,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, sekolah di luar bandar juga kebanyakannya rosak dan kemudahannya tidak mencukupi jika di bandingkan dengan sekolah di kawasan bandar. Pihak kerajaan telah memperuntukkan wang untuk memperbaiki sekolah tersebut supaya setaraf dengan sekolah di bandar.

“Kebanyakkan masyarakat kita tidak berminat dengan bidang pendidikan teknikal  seperti mekanik dan sebagainya, namun bidang inilah  yang amat diperlukan pada masa hadapan untuk membantu dalam proses kemajuan negeri kita,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, beliau akan meneruskan program teknikal dan sosial seperti dasar-dasar yang telah dirancang oleh bekas Ketua Menteri yang dahulu Abdul Taib Mahmud.

Beliau juga turut menyeru supaya rakyat Sarawak  terus hidup dalam  perpaduan seperti yang ada sekarang dan tidak membenarkan anasir-anasir luar memecah belahkan perpaduan yang sedia ada.

Beliau juga turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100 ribu kepada Masjid Jamek Betong, masing-masing RM20 ribu kepada Surau Setia Kampung Baru Betong, Surau Darul Takwa Kampung Baru Ulu Betong, Surau Damai Kampung Hilir Betong, Surau Darul Salam Kampung Fasa Baru Melayu Betong dan Surau Darul Takwa Kampung  Tengah Betong.

Manakala RM200 ribu turut disumbangkan kepada gereja St. Augustine Betong untuk pembesaran gereja tersebut dan  RM200 ribu disumbangkan kepada Sekolah Chung Hua Betong.


            Turut hadir di majlis tersebut ialah isteri Ketua Menteri,Jamilah Haji Anu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Permodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar,  Alfred Jabu  Numpang serta isteri Empiang Jabu, Menteri Perusahaan dan Komoditi Malaysia, Douglas Unggah Embas serta isteri  Doreen Mayang, Menteri Muda Kebajikan Sarawak Robert Lawson Chuat serta isteri Claudia Regina Janting dan Ketua–Ketua Masyarakat. – 

No comments: