Sunday, 16 August 2026

Pemilihan tapak rumah panjang perlu tepat, jamin keselamatan penduduk

TATAU, 16 Ogos 2026: Pemilihan tapak yang sesuai dan selamat perlu diberi keutamaan dalam perancangan pembinaan rumah panjang baharu bagi mengelakkan pembaziran peruntukan kerajaan serta memastikan keselamatan penghuni terjamin. 

Caption: Menteri di Jabatan Premier John Sikie Tayai
Menteri di Jabatan Premier John Sikie Tayai berkata, aspek kesesuaian tapak perlu diteliti pada peringkat awal, termasuk mengambil kira kos meratakan tanah serta risiko tanah runtuh dan banjir.
Beliau berkata, kawasan yang terlalu tinggi dan memerlukan kos meratakan tanah yang besar sepatutnya dielakkan memandangkan peruntukan bagi kerja meratakan tapak rumah panjang lazimnya tidak melebihi RM400,000.
“Jangan memilih kawasan yang terlalu tinggi sehingga memerlukan kerja meratakan tanah dengan kos yang terlalu besar. Pastikan kawasan tersebut juga tiada risiko berlaku tanah runtuh ataupun banjir.
“Selain itu, tapak yang telah dipilih benar-benar akan digunakan untuk membina rumah panjang. Jika projek telah dilaksanakan di sesuatu tapak tetapi rumah panjang tidak dibina di situ, perkara itu akhirnya akan merugikan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Siling dan Lantai Ruai di Rumah Lonny Anak David, Sungai Penyir, pada Ahad.
Dalam pada itu, Sikie menekankan aspek keselamatan turut perlu diberi perhatian dalam pembinaan rumah panjang, khususnya bagi mengurangkan risiko kebakaran.
Ujarnya, setiap rumah panjang baharu perlu mempunyai pemisah kebakaran (fire breaker) menggunakan susunan bata sehingga ke bahagian bumbung bagi membantu menghalang api daripada merebak dengan pantas.
Beliau turut mengingatkan supaya kerja pendawaian elektrik dilaksanakan oleh individu yang mendapat kelulusan Sarawak Energy bagi memastikan pemasangan elektrik mematuhi keperluan keselamatan.
Sikie turut menyatakan penghargaan terhadap rumah-rumah panjang baharu di Batang Anap yang dibina dengan kemas dan seragam, khususnya pada bahagian ruai, yang menurutnya mencerminkan semangat kerjasama dan toleransi masyarakat.
Dalam majlis sama, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Lonny.
Terdahulu, Tuai Rumah Lonny David merakamkan penghargaan kepada Sikie atas peruntukan bagi pelaksanaan projek menaik taraf siling dan lantai ruai yang melibatkan 25 pintu rumah panjang di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS). - Berita Ukas

No comments: